Penjagaan Kaki Bagi Pesakit Diabetis

ASSALAMUALAIKUM

Hari ni nak update mengenai penjagaan kaki bagi pesakit diabetis..okay artikel ni daripada risalah Kementerian Kesihatan Malaysia yang saya ambil kelmarin..orang yang tak ada penyakit diabetis macam saya ni pun boleh amalkan..bagi saya risalah ni agak menarik..hehe

Okay, bagi pesakit diabetis diluar sana, setiap pesakit perlu sentiasa menjaga kesihatan kaki..kita mulakan artikel ni :

Bagi pesakit diabetis, penjagaan kaki perlu dititik beratkan. Ini kerana anda akan mengalami gangguan peredaran darah terutama di bahagian kaki yang boleh menyebabkan kerosakkan saraf dan saluran darah.

Kerosakkan saraf akan mengakibatkan anda kurang atau tidak merasa sebarang kesakitan, kepanasan dan mengakibatkan kaki anda mudah tercedera tanpa anda sedari.

Kerosakkan saluran darah akan menghalang pengaliran darah menyebabkan kaki tidak mendapat bekalan oksigen dan zat-zat yang terkandung di dalam darah. Tanpa pengaliran darah yang baik, luka di kaki anda lambat atau tidak akan sembuh.

Luka yang tidak dirawat dengan baik, berisiko untuk mendapat jangkitan. Ini menyebabkan tisu-tisu akan mati (gangrene) dan jika semakin merebak, kaki anda perlu dipotong bagi menyelematkan nyawa anda.

Bagi mengekalkan kesihatan kaki anda dan mengelakkan komplikasi, anda hendaklah mengamalkan langkah-langkah penjagaan kaki ini :

  • Basuh kaki anda dengan menggunakan sabun terutama di celah-celah jari kaki setiap hari
  • Keringkan kaki dengan tuala bersih dan lembut terutama di celah-celah jari kaki
  • Sapukan losen pelembab supaya kulit anda lembut kecuali di antara celah-celah jari
  • Selalulah mengurut kaki anda termasuk jari-jari kaki anda dengan tangan secara perlahan-lahan
  • Bagi melindungi kaki anda, gunakan sarung kaki jenis kapas yang dapat menyerap peluh dan membolehkan kaki lebih selesa dan sentiasa kering. Pastikan ianya tidak terlalu ketat kerana ini akan menghalang edaran darah kaki anda. Tukar sarung kaki setiap hari
  • Elakkan 'berkaki ayam' ketika berada diluar rumah atau di dalam rumah. Ini bagi mengelakkan kaki anda terpijak benda-benda tajam atau panas
  • Pakai kasut mengikut saiz yang sesuai. Pilih kasut yang lembut dan menutup kaki anda
  • Setiap kali sebelum memakai kasut, lakukan pemeriksaan teliti bagi mengelakkan bahan yang boleh mencederakan kaki anda
  • Potong kuku jari kaki secara lurus dan tidak terlalu pendek. Jangan bulatkan bahagian tepinya. Kikis pinggir kuku agar ianya tidak tajam. Gunakan penyepit kuku dan jangan gunakan peralatan yang hujungnya tajam
  • Jangan merendam kaki anda lebih dari 5minit dan di dalam air panas
  • Jangan duduk menyilang kaki untuk masa yang lama
  • Periksa kaki anda dengan teliti setiap hari di tempat yang terang. Periksa di celah-celah jari dan tapak kaki. Gunakan cermin jika perlu atau minta bantuan orang lain. Periksa di celah-celah jari dan tapak kaki untuk mengesan :
  • Rekahan pada kulit
  • Calar
  • Kudis/bisul
  • Bengkak
  • Luka
  • Lepuh
  • Perubahan warna kulit
  • Callus/corns/tinec
  • Luangkan beberapa minit sehari berbaring atau duduk dengan meletakkan kaki di aras yang lebih tinggi daripada badan


Selain dari komplikasi pada kaki, anda juga mudah mendapat komplikasi yang merbahaya seperti strok (angin ahmar), serangan jantung, kerosakkan buah pinggang dan buta. Anda perlu bertindak bijak mengawal diabetis sebaik mungkin.

*sumber daripada risalah Kementerian Kesihatan Malaysia

0 comment(s):